728x90 AdSpace

Latest News
Sunday, 29 October 2017

Martabat Guru & Anda

ANTARA MARTABAT DAN GELAGAT
Tema sambutan Hari Guru tahun ini "Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan" mengandungi mesej yang amat mendalam yang sepatutnya menjadi satu penggerak untuk guru-guru meneliti dan mengkaji segala aspek berhubung profesion keguruan dalam satu ruang lingkup yang luas dan mendalam. Imej dan martabat guru dan keguruan telah banyak terhakis tidak patut menjadi sesuatu yang menghalang kaum guru daripada terus meningkatkan semula imej ini dengan melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab tugas seperti yang sewajarnya ke tahap yang paling maksimum terutama di dalam era 'globalisasi' dan dalam usaha kerajaan menjana prasarana dan ketrampilan pekerja-pekerja sektor perkhidmatan awam dalam K-ekonomi.

Walau apa pun sebab yang diberikan, kita kaum guru wajar menerima pandangan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Noor Azmi Ibrahim yang disebut sebagai berkata bahawa, imej profesion keguruan akan lebih sempurna apabila guru-guru mahir dalam perkara berkaitan kaedah pedagogi. Jika guru menguasai kemahiran konseptual, interpersonal dan teknikal maka ini akan membantu memartabat dan memulihkan imej profesion keguruan ini. Tambahnya lagi jika kaum guru berjaya menghayati tiga aspek ini, adalah tidak mustahil kaum guru akan menjadi kumpulan pemikir yang sentiasa menjadi rujukan masyarakat seperti satu masa  dahulu.

Ketahuilah bahwa 'martabat guru dan keguruan' bukan terletak atau meminta pihak lain memberikan pengiktirafan sebaliknya guru sendirilah yang mesti berusaha ke arah itu. Sayangnya berapa ramai pula guru-guru yang tidak melambangkan ciri-ciri seorang guru yang unggul melalui 'gelagat' yang mereka sendiri lakukan: tidak memenuhi standard kualiti kerja, sikap keilmuan yang dangkal dan tidak memfokus kepada pengajaran dan pembelajaran. Blaine Lee dalam bukunya The Power Principle menyebut; "Kebanyakan sekolah mempunyai guru-guru yang cemerlang, setengahnya guru-guru 'mediocre', dan setengahnya pula mempunyai guru-guru yang tidak termasuk ke dalam profesion tersebut." Ertinya di samping terdapatnya guru-guru yang memang cemerlang namun sekolah-sekolah kita tetap mempunyai guru-guru bermasalah, guru-guru yang 'burnt-out', guru-guru yang 'sakit mental', dan paling memalukan terdapatnya segolongan guru-guru yang 'tidak boleh digelar guru' langsung dan seribu satu macam lagi. Apakah gejala-gejala negatif ini bukan penyebab kepada kemerosotan nilai dan imej kaum guru di mata masyarakat?

Pemujaan kepada 'materialistik' menyebabkan ramai guru melakukan 'kerja sampingan' (kadang-kadang sudah jadi utama) yang sudah diketahui umum. Masa di sekolah sudah tidak bertumpu kepada P&P lagi sebaliknya 'hati sentiasa teringat' akan 'kerja-kerja luar' yang menambah pendapatan walau pun kebajikan murid dikorbankan. Berapa ramai pula guru-guru yang nampak melebihkan masa dan tenaga untuk kelas-kelas 'tusyen' berbanding kelas rasminya di sekolah? Bagaimana pula sikap guru termasuk para pentadbirnya yang melebihkan 'main' daripada proses P&P; Ujian Bulanan tidak jadi keutamaan, boleh ditunda-tunda sesuka hati walau telah ditetapkan oleh Jabatan? Bagaimana pula kualiti kerja dalam menyediakan soalan-soalan nampak sangat melepaskan batuk ditangga, buat secara ala kadar sahaja membuktikan 'hati perut' sebenar seorang guru yang tidak 'malu' mempamerkan kerjanya yang tidak bermutu? Bagaimana pula tingkah-laku guru-guru kita ketika berada di sekolah sepanjang hari adakah benar-benar mengajar sepenuh hati? Atau adakah tidak berlakunya sindrom guru-guru yang 'busy by doing nothing'? yang pandai berlakon dan bersandiwara, yang menjadi 'jelatang' dan 'petualang', yang menjadi 'duri dalam daging' kepada sekolah dan organisasi? Dan paling berat ialah guru-guru yang dihinggapi penyakit 'hati' yakni malas, culas, cuai, ghaflah, resah, gelisah, suka berborak, lambat bertindak, buat kerja hendak tak hendak, banyak masanya habis di kantin, datang sentiasa lambat tapi baliknya selalu pula cepat, sentiasa cari peluang untuk 'tuang', dan bersikap semua peraturan dan undang-undang tidak betul kecuali dirinya seorang!

Adakah kita sebagai Guru Besar merelakan situasi seumpama ini berlaku dan terus berlaku di sekolah yang kita terajui dan tadbirkan? Oleh itu kita wajib membetulkan keadaan, 'mengubat penyakit' yang ada di sekolah kita masing-masing agar tidak ada lagi guru-guru (termasuk pekerja) yang tersasar dan 'sasau', agar sikap dan tingkah-laku kita semua sama-sama dapat mengangkat 'martabat profesion keguruan' ke tahap yang paling agung dan mulia.Ù±

  1. Antara sifat dan gelagat
  2. antara bijak dan bejat
  3. bagaimana bisa mengangkat martabat dan darjat
  4. guru dan keguruan dalam dunia tanpa sempadan
  5.  
  6. lautan ICT yang tidak bertepi K-ekonomi jadi dagangan
  7. jika profesionalisme dan profesionaliti
  8. tidak digarap dan tidak dihayati ke tahap tertinggi
  9. tidak kira berapa umur kronologi
  10. maka guru sebenar guru
  11. ke sekolah ia tidak jemu
  12. mengajar ia tidak lesu
  13. meneladan ia tidak jeran



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 komentar:

Post a Comment

Item Reviewed: Martabat Guru & Anda Rating: 5 Reviewed By: Rustadi